Khamis, 16 Januari 2014

BAGAIMANA INDUKSI, PEMBANGUNAN STAF, PENILAIAN PRESTASI DAN IKLIM SEKOLAH MEMBERI KESAN KEPADA MOTIVASI GURU.



1.      Pengenalan Motivasi

Guru yang berkesan dalam menjalankan tugasnya adalah guru yang berjaya menjadikan pelajarnya bermotivasi dalam pelajaran. Oleh itu untuk keberkesanan dalam pengajaran, guru harus berusaha memahami makna motivasi belajar itu sendiri dan mengembangkan serta menggerakkan motivasi pemberlajaran pelajar itu ke tahap yang maksimum. Menurut  Saedah, Zainun dan Tunku Mohani (2007) sebagai seorang guru, kita memiliki pelbagai tanggungjawab dan tugas yang harus dilaksanakan sesuai dengan tuntutan profesional keguruan.Tugas utama dan terpenting yang menjadi tanggungjawab seorang guru adalah memajukan, merangsang dan membimbing pelajar dalam proses belajar. Segala usaha ke arah itu harus dirancang dan dilaksanakan.

2. Definisi Motivasi
Menurut  Saedah, Zainun dan Tunku Mohani (2007)  menyatakan bahawa motivasi ialah penggerak kepada kemahuan dan keinginan untuk berjaya untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Jadi guru memerlukan motivasi  menggerakkan dirinya untuk mencapai kualiti kerja. Mohd Zaaba dan Zuraida (2004),  motivasi belajar adalah usaha dan kemahuan individu untuk belajar, bekerja kuat dan bagi mencapai prestasi cemerlang di sekolah.  Manakala dapatlah dirumuskan bahawa motivasi bererti dorongan atau keperluan yang memimpin kepada sesuatu tindakan bagi mencapai satu matlamat yang telah ditetapkan.

3.      Konsep Motivasi Guru dan Kepentingan Motivasi Dalam Keberkesanan Pengajaran
Laura et al., ( 2006) menjelaskan  terdapat dua jenis motivasi yang umum, iaitu motivasi intrinsik dan ekstrinsik. Motivasi intrinsik adalah keinginan bertindak yang disebabkan oleh faktor pendorong yang murni berasal dari dalam diri individu, dan tujuan tindakan itu terlibat di dalam tindakan itu sendiri, bukan di luar tindakan tersebut. Berbeza dengan motivasi ekstrinsik, iaitu keinginan bertingkah laku sebagai akibat dari adanya rangsangan dari luar atau kerana adanya kekuasaan dari luar. Tujuan bertingkah laku pun tidak terlibat dalam tingkah laku itu sendiri, tetapi berada di luar tindakan tersebut.

Laura et al., ( 2006) menerangkan dalam proses belajar, motivasi intrinsik lebih berkesan mendorong pelajar dalam belajar. Namun bukan bermakna bahawa motivasi ekstrinsik perlu dihindari sama sekali. Motivasi ekstrinsik dapat memancing timbulnya motivasi intrinsik. Banyak pelajar yang termotivasi secara ekstrinsik dapat berjaya dengan baik dalam belajar, seperti halnya dengan pelajar-pelajar yang termotivasi secara intrinsik, asalkan guru dapat membantu mereka dengan cara yang tepat sesuai dengan keperluan mereka. Ada berbagai cara yang dapat dilakukan oleh guru dalam membangkitkan motivasi pelajar dalam belajar melalui pengembangan motivasi ekstrinsik, seperti memberikan penghargaan atau celaan, membangun persaingan, memberikan hadiah atau hukuman, dan memberi tahu kemajuan yang dicapai oleh pelajar. Masing-masing cara mempunyai kelebihan-kelebihan dan kelemahan-kelemahannya sendiri. Guru harus menentukan cara yang paling tepat sehingga berbagai kelemahan dapat dikurangi atau dihindarkan sama sekali, dan sebaliknya kekuatan-kekuatan yang ada dikembangkan dan dimanfaatkan sebesar-besarnya.

Mohd Zaaba dan Zuraida (2004) menjelaskan aspek-aspek yang terlibat dalam pengajaran yang meliputi sikap guru, kaedah pengajaran, bahan pelajaran, media pengajaran dan penilaian hasil pengajaran sangat mempengaruhi minat dan keghairahan pelajar dalam belajar. Sikap atau tingkah laku guru dijadikan model oleh pelajar-pelajarnya. Pelajar-pelajar meniru sikap atau tingkah laku guru, sama ada yang pantas mahupun yang buruk. Gaya guru dalam memimpin kelas juga mempengaruhi suasana kelas dan kegiatan pelajar dalam belajar. Guru yang memberi semangat kepada pelajar dengan menekankan bahawa semua pelajar dapat berhasil dalam belajar, asal berusaha keras, rajin, tekun dan tidak mengenal putus asa, akan menimbulkan semangat pelajar untuk belajar. Mereka tidak takut untuk salah dalam belajar, kerana mereka yakin jika salah, mereka boleh berusaha lagi untuk memperoleh yang benar.

Guru yang bermotivasi akan berusaha untuk mengunakan kaedah mengajar yang menyeronokkan serta dapat meraih minat pelajar untuk belajar seterusnya  memungkinkan pelajar terlibat secara aktif dalam belajar. Berbagai model mengajar yang dikembangkan oleh Bruce Joyce dan Marsha, memungkinkan keterlibatan pelajar yang maksimum dalam belajar. Model-model kaedah mengajar ini menuntut keaktifan pelajar sesuai dengan taraf perkembangan masing-masing pelajar. Pada taraf perkembangan pelajar yang tertinggi diharapkan pelajar-pelajar dapat belajar mandiri; melakukan kegiatan belajar tanpa tergantung banyak terhadap guru ( Halimah, 2006).

Cheng (1993) dalam kajiannya mendapati sekolah yang mempunyai budaya yang kukuh menghasilkan guru yang bermotivasi, persekitaran organisasi yang kaya dengan ideologi, penyertaan bersama, dan kepimpinan berkarisma. Selain itu, budaya kolaboratif juga dapat meningkatkan keakraban hubungan yang seterusnya menyebabkan guru mengalami kepuasan bekerja yang tinggi dan peningkatan  produktiviti. Kajian oleh Abdul Ghani dan Tang (2006) berjaya memberikan satu gambaran yang jelas wujudnya hubungan yang kukuh dan signifikan antara pengurusan budaya kolaboratif dengan motivasi guru. Kajian ini memantapkan lagi motivasi guru yang dapat menjelaskan peratusan sumbangan pemboleh ubah-pemboleh ubah seperti pengurusan budaya kolaboratif kejelekitan berterusan dan keperluan bersatu. Dapatan kajian memberi sumbangan yang amat berguna dalam bidang pengurusan pendidikan.

4.      Induksi dan Kesannya Kepada Motivasi  Guru
Menurut Bahagian Pendidikan Guru KPM (2011),  satu program pembelajaran melalui bimbingan yang berstruktur berasaskan sekolah untuk menyokong pembangunan profesionalisme guru baru / permulaan  bagi meningkatkan motivasi dan  tahap kompetensinya dalam kerjaya guru. Banyak hasil kajian menunjukkan tahun pertama merupakan tahun yang  paling mencabar untuk guru permulaan . Masalah utama yang dihadapi oleh guru permulaan yang baru ditempatkan di sekolah adalah untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran bilik darjah sebenar (Humphrey et al., 2007). Jika Sesi Induksi Guru Baru tidak diberikan dengan betul , ini menjejaskan motivasi guru baru untuk melaksanakan tugasnya dengan baik dan berkesan  (Russell, 2006).

Norasmah (2007)  mengkategorikan guru baru yang perlu terlibat dalam proses induksi adalah seperti berikut iaitu  guru permulaan (GST), guru yang bertukar, guru yang dinaikan pangkat, guru turun pangkat, guru bertukar kembali, guru yang betukar kumpulan, guru baru yang berpengalaman dan guru sementara. Rosli dan Wan Hasmah (2009) membuat kajian tentang proses induksi guru yang difokuskan kepada hubungan guru permulaan dengan guru besar pengetua, guru-guru dan murid-murid dalam situasi kerja di mana mereka mula  berkhidmat.Kajian beliau juga mendapati hubungan guru besar / pengetua  dengan guru baru banyak bertumpu kepada tugas-tugas rasmi.  Manakala hubungan guru baru dengan guru-guru lama adalah penting kerana  penerimaan dan kerjasama yang diperoleh daripada guru berpengalaman mempengaruhi motivasi guru permulaan. Proses induksi guru baru  dengan murid-murid juga penting . Ini kerana dalam sesi induksi  dengan murid, intereksi di bilik darjah  telah menyampaikan mesej kepada guru permulaan tentang keupayaan mereka dalam melaksanakan tugas sebagai seorang guru yang baik. Ramai guru permulaan beranggapan mereka masih banyak kelemahan dalam aspek pengajaran dan pengurusan bilik darjah. Atas dasar ini juga penyesuaian diri dengan budaya sekolah, hubungan baik dengan guru besar / pengetua serta hubungan baik dengan murid-murid merupakan perkara penting bagi guru permulaan untuk meningkatkan motivasi diri dan keyakinan mereka sebagai seorang guru.

Kesimpulannya, kesan induksi kepada motivasi guru adalah keyakinan diri mereka meningkat kerana dapat bimbing tentang kaedah mengajar dalam situasi sebenar daripada mentor (guru senior), guru lebih memahami konsep dalam pengajaran dalam bilik darjah, meningkatkan pengetahuan masing-masing selaras dengan perkembangan dunia pendidikan semasa dan dapat mengaplikasi semua pengetahuan yang diperoleh ini secara berkesan kerana kualiti pengajaran guru merupakan faktor penyumbang utama kepada pembelajaran murid.

5.      Pembangunan Staf  dan Kesannya Kepada Motivasi Guru
Menurut Dessler (1997) di dalam Omar dan Khuan (2005) mendefinisikan pembangunan staf  sebagai  sebarang usaha untuk rnembaiki prestasi sernasa atau masa hadapan secara menyeluruh rnelalui penyampaian ilmu, perubahan sikap serta mempertingkatkan kemahiran. Aspek pembangunan diri guru merupakan program berterusan dan bersifat jangka panjang. Iajuga merupakan program terancang dan dilaksanakan secara sistematik. Pelbagai pendekatan dan kaedah boleh digunakan, antaranya kursus, bimbingan, mentoring, pembelajaran cyber dan seumpamanya. Program ini holeh dilaksanakan oleh pihak sekolah dan disamping itu guru dengan inisiatif sendiri boleh meneroka pelbagai pendekatan yang  sesuai dengan dirimasing-masing. Dalam konteks ini konsep pembelajaran sepanjang hayat amat relevan sekali.

       Sebagaimana proses pendidikan, proses pembangunan diri guru juga melihatkan tiga domain utama iaitu: kognitif, afektif, dan psikomotor. Domain kognitif merujuk kepada ilmu; afektif merujuk kepada aspek nilai; dan psikomotor merujuk kepada aspek kemahiran. Pembangunan bersepadu dan seimbang meliputi rohani, jasmani dan akal harus dititikberatkan seperti mana yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi teras dan tunjang kepada kesepaduan sistem pendidikan. Jika Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi teras sistem pendidikan maka amat wajarlah pembangunan diri guru juga berteraskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan perkembangan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (Omar & Khuan, 2005).

Mohamad Sani Ibrahim (2001) menjelaskan perkembangan profesionalisme keguruan harus menjadi prioriti dalam perancangan kerjaya setiap guru. Cabaran-cabaran yang dihadapi guru masa kini dan masa depan semakin meningkat. Isu yang dihadapi bukan sahaja sekadar masalah murid dan peralatan tetapi lebih jauh daripada itu termasuk cabaran terhadap kemampuan ilmiah guru menghadapi masyarakat berasaskan-ilmu serta jati diri dalam mengharungi isu-isu nilai yang lebih global. Profesion keguruan sentiasa tercabar dengan pelbagai isu pendidikan. Guru masa kini tidak mungkin dapat bertahan dan mempertahankan kredibiliti mereka tanpa menunjukkan ciri-ciri profesionalisme seperti profesion-profesion yang lain. Ini akan hanya dapat dicapai apabila guru sedia untuk terus memajukan diri dan profesionnya. Guru dan pihak sekolah seharusnya tidak bersendirian dalam mencapai hasrat ini. Oleh itu, guru di sekolah tidak seharusnya terpisah dari aliran perdana pendidikan guru. Bagi tujuan ini pihak sekolah bersama para guru harus membina permuafakatan dengan pendidik-guru yang pernah menjadi mentor dan pembimbing mereka pada satu masa dahulu. Permuafakatan dan perkongsian bijak antara sekolah, guru dan pendidik guru seharusnya berterusan bagi menjayakan perkembangan profesionalisme keguruan secara berterusan. Di samping itu, pendidik guru pula dapat memaharni realiti sebenar alam persekolahan  untuk dijadikan bahan pengajaran dalam bilik kuliah mereka.

Kesimpulannya,  kesan pembangunan staf terhadap motivasi guru menurut Omar dan Khuan (2005)  adalah (1) mempunyai peningkatan dalam kepakaran , pengetahuan dan kecekapan untuk melakukan tugas mereka, (2) meningkatkan keyakinan mereka melakukan tugasan mereka, (3) kerja mereka menjadi lebih produktif dan berkualiti, menyebabkan mereka lebih bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja mereka dan  (4) meningkatkan kepuasan dalam melakukan kerja mereka, merasa seronok untuk terus bekerja.


6.      Penilaian Prestasi  dan Kesannya Kepada Motivasi Guru
Penilaian prestasi bermaksud sistem formal semakan dan penilaian berkala ke atas prestasi kerja individu atau kumpulan (Mondy, R. W. , Noe , R.M & Premeaux , S.R , 2002).  Penilaian prestasi juga ditakrifkan sebagai apa jua prosedur yang melibatkan penetapan piawaian kerja, penilaian prestasi sebenar pekerja berbanding piawaian dan pemberian maklum balas kepada pekerja Prosedur ini bertujuan untuk memotivasikan pekerja bagi mengurangkan jurang perbezaan prestasi atau terus meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih baik (Dessler, G., 2003).

            Ramai pengkaji telah mengakui bahawa penilaian prestasi merupakan aspek terpenting dalam pembangunan sumber manusia sesebuah organisasi sehingga dianggap sebagai nadi kepada kehidupan sesebuah organisasi (Ivancevich, 1995; Lawrie, 1990; Miner, 1985). Secara tradisinya, penilaian prestasi memberi penumpuan utama kepada pengukuran pencapaian individu untuk pelbagai tujuan dalam organisasi (Dobbins, Cardy & Carson, 1993; Wiese & Buckley, 1998).

Noryanti (2007)  menyatakan terdapat  beberapa sebab kenapa penilaian prestasi sangat diperlukan oleh sesebuah organisasi antaranya ialah :
          i.            Membolehkan majikan dan pekerja berbincang dan membandingkan tahap pencapaian pekerja dengan piawaian yang telah ditetapkan.
        ii.            Membolehkan majikan menggunakan maklumat yang didapati untuk  mengetahui kekuatan dan kelemahan prestasi seseorang pekerja.
      iii.            Membantu mengenal pasti keperluan latihan dan pembangunan yang diperlukan oleh kakitangan dalam meningkatkan prestasi.
      iv.            Menjadi asas penentuan pakej pampasan yang akan diberi kepada para pekerja.

Keadilan dalam penilaian prestasi merupakan satu faktor penting dalam memotivasikan guru.
Keadilan dalam penilaian prestasi bererti memberi ganjaran yang sesuai kepada pekerja berdasarkan prestasi dari segi pengetahuan, kemahiran dan kepakaran pekerja dalam membangunkan sesebuah organisasi (Lawson & Shen, 1998). Hal ini penting bagi organisasi
untuk meletakkan asas keadilan sebagai pertimbangan utama dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil hasil daripada proses penilaian prestasi. Oleh itu, pentadbir yang bertindak sebagai penilai perlu berperanan sebagai pencari kebenaran dengan menilai pencapaian pekerja secara objektif berdasarkan kriteria pengukuran yang sah dan boleh dipercayai (Folger & Konovsky, 1989) untuk memberikan tanggapan positif kepada para pekerja.

Dapatan daripada kajian oleh Abdull Sukor et al.,(2008) juga mendapati terdapat perkaitan yang positif antara keadilan pengagihan dengan motivasi kerja adalah bertepatan dengan kajian yang telah dilakukan oleh Deutsch dan Bridges(1985) dan Khaliq Ahmad (1994).

Kesan penialain prestasi yang positif terhadap motivasi guru menurut Noryanti Hussin (2007) adalah seperti berikut :
  1. Guru ada luang dan peluang untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.
  2. Guru dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan mereka dalam melaksankan tugas. Tindakan perlu dipersetujui untuk menjelaskan segala masalah yang dikenal pasti dan memotivsikan guru yang terlibat.
  3. Segala tindakan yang dipersetujui perlu dibuat agar pengukuran prestasi dapat diteruskan.
  4. Apabila prestasi dilaksanakan dengan betul akan menyebabkan guru memahami dengan jelas kriteria penilaian prestasi, sasaran kerja yang perlu dipenuhi dan jangkaan penilai bagi membolehkan mereka berusaha untuk memenuhi kriteria dan prosedur telah ditetapkan.
  5. Cobb,Wooten dan Folger (1995) membuktikan pekerja yang mendapat layanan yang adil akan mempunyai sikap dan gelagat yang positif walaupun terpaksa berhadapan dengan kesukaran.

Kesan penialain prestasi yang negatif terhadap motivasi guru menurut Ab. Aziz dan  Juhary (2000) adalah seperti berikut :
  1. Ketidakadilan dalam pelaksanaan penilaian prestasi menyebabkan berlakunya rasa terasing (Haralambos, 1989), konflik (Milkovick & Boudream, 1991; Zall, 2000), kelunturan motivasi bekerja (Randell, Packard & Slater, 1990), kebimbangan di tempat kerja (Longenecker, 1989; Suarez, 1994)) dan ketegangan dalam organisasi (Gabris & Ihrke, 2001; Jex & Beehr, 1991; Matteson & Ivancevich, 1987).
  2. Memberi implikasi sosial dalam pelaksanaan penilaian prestasi sehingga boleh menjejaskan pembangunan organisasi secara keseluruhannya.

7.      Iklim Sekolah dan Kesannya Kepada Motivasi Guru
Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riangdengan pembelajaran yang lancar. Memandangkan faktor iklim sekolah turut membantu mewujudkan sekolah yang berkesan, maka terdapat beberapa pengkaji yang telah mengetengahkan beberapa ciri iklim sekolah berkesan hasil daripada kajian yang mereka lakukan.

Mengikut Halpin dan Croft (1963), iklim sekolah yang berkesan mempunyai ciri-ciri berikut: (1) guru-guru merasa selamat, berpuas hati dan berkeyakinan, (2) guru-guru tidak rasa tertekan dan mengambil perhatian tentang kemajuan murid-muridnya, (3) pengetua merasa penuh yakin terhadap kerjanya, serta bertimbang rasa, dan (4) pelajar merasa selamat dan belajar bersungguh-sungguh.
           
Mengikut pandangan Rosnani (1998), pihak pengurusan sekolah hendaklah berusaha mewujudkan budaya sekolah yang menghidupkan nilai-nilai akidah dan berakhlak supaya murid-murid merasa selamat, sentiasa ingin berbakti dan berusaha untuk maju dalam pelajaran berdasarkan dorongan yang lebih tinggi, iaitu mencari keredhaan Allah S.W.T. dan bukan sekadar untuk menggembirakan warga sekolah, ibu bapa dan guru. Sebahagian daripada budaya ini adalah bersifat muraqabah, iaitu merasa Allah sentiasa memerhatikan perbuatan mereka untuk dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya, jika setiap warga sekolah daripada pengetua, guru, kakitangan sokongan sehingga kepada pelajar-pelajar menghayati nilai-nilai akhlak ini, pasti sekolah berkesan dari sudut disiplin akan

Lambeth  (2008) dalam kajiannya yang bertajuk The Effects of School Climate on Teacher Efficacy and Persistence in High-Poverty Schools  menyatakan bahawa iklim sekolah merupakan faktor penting dalam membina efikasi kendiri guru di sekolah yang miskin dan serba kekurangan. 

Iklim sekolah mempunyai kesan positif ke atas persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Iklim sekolah yang positif menjadi salah satu faktor yang penyumbang kepada  motivasi dan juga kepuasan kerja guru (Freiberg dan Stein ,1996). Iklim sekolah yang baik memudahkan guru melaksanakan tugasan mereka dengan lebih selesa tanpa tekanan serta mendapat kerjasama yang erat daripada semua warga sekolah.

Kesimpulannya, kebanyakan kajian yang dijalankan tentang iklim sekolah menunjukkan iklim sekolah akan mewujudkan suasana pembelajaran yang bermotivasi dan seterusnya membantu pelajar memperoleh pencapaian yang lebih baik dan guru-guru lebih puas untuk bekerja. Ibrahim (1993:78) menegaskan bahawa iklim yang positif sangat perlu wujud di sesebuah sekolah. Banyak kajian yang dibuat menunjukkan bahawa terdapat hubung kait yang rapat antara iklim sekolah dengan kejayaan murid. Sekiranya iklim baik, guru dan murid akan lebih bermotivasi dan pada masa yang sama aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan baik.


8.       Kesimpulan
Guru juga perlukan motivasi untuk bertugas. Malah, staf sokongan pun memerlukan motivasi dalam bekerja, seperti Induksi, melanjutkan pelajaran dan berkursus, penilaian prestasi dan iklim sekolah adalah antara cara motivasi luaran yang perlu ditekankan,  secara tidak langsung kita boleh mendapat dan menaikkan motivasi guru.  Jika guru bermotivasi dan mempunyai hala tuju yang jelas,  maka sudah pasti ia mampu membimbing pelajarnya supaya fokus mereka terarah untuk mencapai cita-cita atau bermatlamat tertentu.

Biobilogarafi
Abdul Ghani Abdullah & Tang Keow Ngang. 2006. Motivasi Guru dan Pengurusan Budaya
     Kolaboratif Pengurus Pendidikan Wanita. Jurnal Pendidikan. USM.Vol.31, 97-105

Abdull Sukor Shaari, Ab. Aziz Yusof , Mohd Khan Jamal Khan. 2008. Keadilan penilaian  prestasi dalam kalangan guru dan hubungannya dengan motivasi kerja dan prestasi
akademik sekolah. International Journal of Management Studies (IJMS ) (Bumper Issue): UUM . Vol. 15, m/s 159 -176.


Abdul Ghani Abdullah & Tang Keow Ngang. (2006). Motivasi guru dan pengurusan budaya kolaboratif pengurus pendidikan wanita. Jurnal Pendidikan .USM.  Vol.31, 97-105.

Ahmad Zabidi Abdul Razak. 2006. Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran. Jurnal Pendidikan.USM. Vol. 13, 3 – 19.
                                                                                                 

Halimah Harun. 2006. Minat, motivasi dan kemahiran mengajar guru pelatih. Jurnal Pendidikan. UKM. Vol. 31, 83-96

Omar Abdull Kareem dan Khuan Wai Bin.2005. Perkembangan profesional guru  secara berterusan: Perspektif pembangunan sumber  manusia. Jurnal Masalah Pendidikan 2005: Universiti Malaya. 131-141.

Russel, A .2006. Teacher induction program : trends and opportunities. American Association of State Colleges and University. Vol. 3(10).
Salhah Abdullah & Ainon Mohd. 2007. Guru sebagai mentor. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Wong.R 2004. Induction programs that keep new teachers teaching and improving. NASSP       Bulletin. Vol.88 (638).

SEJAUH MANAKAH SUKATAN PELAJARAN DAN BUKU TEKS SEJARAH SMR MENGANDUNGI ELEMEN PERPADUAN KAUM DAN SEMANGAT PATRIOTIK


1.0  Pengenalan
Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India.  Kemajmukan kaum ini menyebabkan perpaduan merupakan asas yang amat penting dalam mewujudkan keharmonian dan keamanan dalam kalangan rakyat. Unsur perpaduan antara kaum  akan terjalin lebih kuat jika disulami dengan semangat patriotik  terhadap negara. Kertas kerja ini turut  mengupas isu-isu perpaduan kaum, unsur patriotisme  yang terdapat di dalam mata pelajaran Sejarah  tingkatan 1,2 dan 3. Malah ia turut memberi beberapa cadangan dan langkah agar pendidikan Sejarah ini  mampu  menerapkan nilai-nilai  yang berkaitan dengan hubungan kaum dari aspek kandungan, penerapan nilai serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti yang dihasratkan di dalam mukadimah Akta Pendidikan 1996.
Menurut Kamus Dewan (2011), perpaduan berasal daripada kata akar 'padu' , yang bermaksud bergantung, bersatu, bercampur untuk menjadi satu, kukuh dan utuh, bermuafakat, berunding dengan bersungguh-sungguh. Maksudnya sahaja sudah mencukupi untuk menerangkan kepada kita bahawa untuk menjadi kuat dan kukuh, tiada cara lain melainkan melalui perpaduan. Bagi kita rakyat Malaysia, yang pelbagai bangsa dan fahaman ini, perpaduan bermaksud kita semua mestilah bersatu, bermuafakat, bekerjasama, dan berunding untuk menjadi satu bangsa yang kuat.
Patriotisme pula  adalah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air . Perasaan ini perlu wujud di hati setiap individu rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sehubungan itu , semangat patriotik dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Justeru, berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah negara, murid dibimbing untuk menganalisis dan menilai fakta-fakta sejarah secara rasional. Natijah daripada pemahaman dan penghayatan sejarah negara , para pelajar dapat membina kekuatan semangat cinta akan negara. (PPK , 2000)


2.0 Mukadimah Akta Pendidikan 1996
      Akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550 adalah bertujuan memansuhkan Akta Pelajaran 1961. Menurut mukadimah Akta Pendidikan 1996,  ia bertujuan untuk mewujudkan undang-undang bagi mengawal selia bidang pendidikan di negara kita. Di dalam mukadimah Akta Pendidikan 1996 ini mengakui bahawa ilmu adalah penentu utama arah tuju negara dan penyelamat bangsa. Tegaskan di dalam bahagian ini bahawa tujuan   pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat Ia juga bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. (Junaidah & Norashimah , 2005).
Bidang pendidikan negara  mempunyai peranan penting dalam menjayakan wawasan negara demi untuk mencapai taraf negara maju sepenuhnya dan segi kemajuan ekonomi, keadilan sosial, dan kekuatan rohani, moral dan etika, ke arah mewujudkan suatu
masyarakat yang bersatupadu, demokratik, liberal dan dinamik.
Bahagian mukadimah Akta Pelajaran 1996 menjelaskan misi akta ini adalah  untuk menghasilkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia dan segi kualiti bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi negara Malaysia. Selain itu, Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan
kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, Kurikulum Kebangsaan dan peperiksaan yang sama; pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan yang akan memenuhi keperluan negara, serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara.
            Daripada mukadimah Akta Pendidikan jelas menunjukkan elemen perpaduan dan patriotisme sangat diberi penekanan dalam bidang pendidikan di Malaysia. Perbincangan di dalam kajian ini seterusnya akan memfokus kepada sejauh manakah elemen perpaduan dan patriotisme di terapkan di dalam mata pelajaran Sejarah tingkatan 1,2 dan 3 yang dikategorikan sebagai tahap sekolah menengah rendah (SMR).

3.0 Matlamat Dan Kepentingan Matapelajaran  Sejarah
Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan.  Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan agen perubahan memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda atau pelajar.  Pendidikan, sering kali dianggap sebagai teras utama ke arah perpaduan  nasional dan pemupukan kesetiaan dalam kalangan  rakyatnya. Setelah peristiwa 13 Mei 1969, kurikulum yang dirangka bertujuan menanamkan kesedaran individu, ciri-ciri dan nilai rakyat Malaysia yang berfikiran terbuka  di samping menolak sentimen perkauman, warisan dan perbezaan yang sempit antara mereka. Tumpuan kemudiannya  adalah  kepada melahirkan negara bangsa  yang bersatu padu dan pengukuhan kesetiaan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar sekolah. 
Dasar Pendidikan Kebangsaan menggariskan matapelajaran Sejarah sebagai alat yang boleh mewujudkan nilai perpaduan dalam diri individu tidak kira bangsa atau agama. Penekanan pendidikan Sejarah tertumpu kepada kesedaran sejarah, toleransi dan kepekaan masyarakat untuk berkongsi tanggungjawab terhadap masa depan negara.  Malamat yang terdapat dalam pendidikan Sejarah ini bertepatan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara iaitu menjadikan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Rakyat yang dimaksudkan dalam Falsafah Pendidikan Negara ialah menonjolkan ciri seperti sentiasa berusaha mengekalkan kestabilan negara melalui perpaduan kaum serta amalan nilai-nilai murni seperti bekerjasama, tolong-menolong, berbelas kasihan, bertimbang rasa, hormat menghormati dan bertoleransi (Ee Ah Meng,1996).
            Menurut Ahamad bin Rahim (2011), Pendidikan Sejarah merupakan satu mata pelajaran yang dianggap relevan dalam menerapkan nilai-nilai perpaduan kaum dan semangat patriotisme dalam masyarakat multietnik di negara ini. Perpaduan dan patriotisme sepatutnya menjadi inti pati utama dalam sistem pendidikan kita. Persoalannya sejauh mana elemen perpaduan dan patriotisme telah diterapkan ke dalam sukatan pelajaran dalam mata pelajaran peringkatan sekolah. Kajian ini akan cuba mengupas sejauh mana elemen-elemen perpaduan dan patriotisme diterapkan didalam mata pelajaran Sejarah| tingkatan 1 hingga tinggatan 3.  Penggunaan buku teks dalam pengajaran dan pembelajaran tidak menimbulkan suasana pembelajaran yang menarik. Penggunaan buku teks yang berlebihan menjadikan pengajaran bersifat stereotaip, kurang daya kreatif dan imaginatif. Guru yang terlalu bergantung kepada penggunaan buku teks akan menyebabkan pelajar kurang berminat terhadap pengajarannya kerana sifat buku teks yang statik dan tidak bersifat interaktif. Terdapat guru yang amat bergantung kepada buku teks. Nota-nota dipetik terus daripada buku teks. Pelajar diminta menggariskan bahagian yang penting dalam buku teks. Fenomena ini menimbulkan kebosanan kepada pelajar mengikuti mata pelajaran ini. Kajian Noraizan Hamzah (2008) menunjukkan pelajar akan berasa bosan semasa membaca buku teks kerana isi kandungannya terlalu banyak fakta yang perlu dihafal. Masyarakat lebih suka melihat kejayaan dalam sesuatu peperiksaan sebagai kayu ukur dalam menentukan keberhasilan dan kecemerlangan masa hadapan seseorang pelajar. Lantaran itu, sudah menjadi rutin guru mengajar untuk memastikan pelajarnya cemerlang dalam peperiksaan yang didudukinya tanpa menghiraukan matlamat dan objektif kurikulum itu sendiri. Pengajaran dan pembelajaran Sejarah dilihat lebih bersifat ‘reproduction’ iaitu mengeluarkan segala fakta yang dipelajari dalam peperiksaan. Kandungan kurikulum yang terlalu bersifat peperiksaan ini menyebabkan matlamat pendidikan Sejarah untuk perpaduan kaum tidak dapat dicapai sepenuhnya.

4.0   Eleman Perpaduan  dan patriotisme Di dalam Kandungan Sukatan Pelajaran dan Buku Teks  Pelajaran Sejarah Sekolah  Menengah Rendah  (SMR)
  1. Isi kandungan buku teks Sejarah SMR didapati kurang menerapkan elemen perpaduan
 Untuk melihat dengan lebih jelas kita boleh merujuk bahagian Panduan Penggunaan Buku Teks buku teks Sejarah Tingkatan 2 muka surat ix hingga xi (Masariah, 2006) tidak menyatakan elemen perpaduan yang hendak yang diterapkan terapkan dalam buku tersebut. Pendapat ini juga selari dengan Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR (PPK, 2002) dimana didalam bahagian pendahuluan buku Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR muka surat 1 dan 2 tidak ada dinyatakan bahawa mata pelajaran Sejarah SMR ini untuk mencapai perpaduan negara seperti yang terkandung di dalam mukadimah Akta pendidikan 1996. Tetapi elemen-elemen ideologi negara seperti penerapan unsur patriotisme, pendidikan bertaraf antarabangsa, penyuburan daya tahan dan pendidikan sepanjang hayat ada dinyatakan dengan jelas dalam bahagian pendahuluan tersebut.

  1. Kebanyakkan isi kandungan buku teks Sejarah SMR adalah lebih memberi penekanan kepada sumbangan kaum Melayu sahaja kepada sejarah negara
Jika dikaji dari segi kandungan kandungan buku teks Sejarah SMR, hampir 80 peratus isi kandungan buku teks Sejarah SMR. Contohnya, dalam bab satu mata pelajaran Sejarah tingkatan 3 dengan tajuk Pendudukan Jepun Di Negara Kita. Di dalam tajuk ini menceritakan tentang tokoh-tokoh melayu bersatu padu dan mempunyai semangat patriotisme seperti Leftenan Adnan, Ibrahim Haji Yaakob, Anggota Force 136 Melayu dan Pasukan Wataniah Pahang berjuang menentang Jepun untuk mempertahankan tanah air (rujuk buku sejarah tingkatan 3, muka surat 26). Manakala Orang Cina digambarkan kurang bersatu padu dan patriotisme kerana bersikap anti-jepun kerana kesan daripada Perang China-Jepun dan India pula digambarkan semangat patriotisme kerana berjuang untuk memerdekakan negara India (rujuk buku sejarah tingkatan 3, muka surat 32). 
Banyak lagi bab-bab dalam buku teks Sejarah SMR seperti bab 3 tingkatan 2 (Negeri-negeri Melayu Utara dan Johor Benteng Keselamatan British), bab tujuh tingkatan 2 ( Perjuangan Rakyat Tempatan Mengembalikan kedaulatan Bangsa), bab dua tingkatan 3 (Malayan Union dan persekutuan Tanah Melayu) dan bab lima tingkatan 3 (Kemerdekaan Negara 31 Ogos 1957) menerangkan tentang sumbangan-sumbangan kaum Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara sehingga membelakangkan sumbangan kaum lain dalam memperjuangkan kemerdekaan.
  1. Isi kandungan buku teks dan sukatan pelajaran sejarah SMR kurang menyentuh tentang elemen perpaduan tetapi lebih penekanan kepada elemen patriotisme
Buku teks Sejarah SMR adalah ditulis berdasarkan Huraian Sukatan Mata pelajaran Sejarah SMR. Bagi menjelaskan tentang perkara ini, boleh diteliti petikan tujuan pendidikan sejarah seperti yang nyatakan pada bahagian pendahuluan Huraian Pelajaran Sejarah Tingkatan 3 (PPK, 2002) adalah seperti berikut :
Tujuan pendidikan Sejarah adalah untuk memupuk semangat setia negara dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah tanah air. Di peringkat Sekolah Menengah Rendah, pembelajaran tentang sejarah negara yang meliputi jangka masa selama lima ratus tahun disusun secara kronologi. Ia bertujuan untuk memberi pemahaman menyeluruh dan suatu gambaran lengkap tentang sejarah negara kepada murid.
          (Sumber : Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR ( PPK, 2002 –m/s 2)


Objektif isi kandungan mata pelajaran Sejarah SMR adalah tidak selari dengan matlamat Akta Pendidikan 1996 kerana kurang menfokuskan kepada pemupukan perpaduan kepada rakyat negara ini, tetapi elemen patriotisme dinyatakan dengan jelas sebagai sebahagian objektif di dalam kurikulum Sejarah SMR. Contoh elemen patriotisme dinyatakan dengan jelas dalam objektif ke lapan iaitu ‘mempunyai dan mempertingkatkan semangat patriotik dan bersedia melibatkan diri dalam usaha mempertahankan kedaulatan, pembangunan dan kemajuan negara’ berdasarkan Huraian Sukatan Mata Pelajaran Sejarah Tingkatan 3 (PPK, 2002, m/s 4),  tetapi tidak terdapat elemen perpaduan yang dinyatakan dalam objektif-objektif  kurikulum Sejarah SMR tersebut. 
Menurut Huraian Sukatan Mata Pelajaran Sejarah tingkatan 3 (PPK, 2002), antara nilai-nilai patriotisme yang diterapkan di dalam  buku teks tersebut ialah :
    1. Berbangga sebagai rakyat Malaysia.
    2. Bersemangat setia negara.
    3. Bersemangat kekitaan.
    4. Berdisiplin.
    5. Berusaha dan produktif.
Malahan, di dalam huraian sukatan juga dimasukkan kulum unsur dan tingkah laku patriotisme. Antara kulum yang terdapat dalam Huraian Sukatan Sejarah SMR ialah kulum tema / tajuk hasil, pembelajaran, konsep/istilah cadangan aktiviti dan pembelajaran unsur dan tingkah laku patriotisme. Kulum yang berkaitan dengan perpaduan tidak dimasukkan secara khusus. Sebagai contoh boleh rujuk Huraian Sukatan Sejarah Tingkatan 3 (PPK, 2002, m/s 27).

  1. Tema-tema di dalam sukatan kandungan dalam buku teks kurang mengambarkan pemupukan elemen perpaduan dan patriotisme antara  kaum di Malaysia.
Tema-tema di dalam sukatan kandungan dalam buku teks SMR dipecahkan kepada enam tema yang dijadikan pokok perbincangan. Tema-tema tersebut seperti berikut:
Tema
Topik  / Kandungan
Tingkatan
Tema 1
Tamadun Awal Dan Keagungan Kesultanan Melayu Melaka
1
Tema 2
Kesultanan Melayu Melaka Menjadi Asas Kerajaan Masa Kini.
1
Tema 3
Kemakmuran dan kekayaan Negara  Kita Menarik Kuasa Luar untuk Menjajah
2
Tema 4
Tindak Balas Masyarakat Tempatan Terhadap Penjajah British
2
Tema 5
Perjuangan Rakyat ke Arah Kemerdekaan Tanah Air
3
Tema 6
Pembentukan Persekutuan Malaysia
3

                  (Sumber : Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah SMR ( PPK, 2002 –m/s 3)

Hasil kajian  ke atas ke enam tema tersebut didapati elemen perpaduan antara kaum juga kurang diberi penekanan tetapi lebih terarah kepada perpaduan kaum melayu sahaja. Ahmad, et.all (2011), menjelaskan beberapa sebab yang membawa faktor isi kandungan kurikulum mata pelajaran Sejarah boleh  menjejaskan elemen pemupukan perpaduan dan patriotisme dalam kurikulum adalah kerana ianya dikatakan bersifat terlalu ”Melayu centrik”. Peranan semua kaum dalam menuntut kemerdekaan dan memakmurkan negara perlu diberi penekanan. Sejarah yang diajar seolah-olah sejarah orang Melayu dan bukan sejarah Malaysia. Sumbangan dan pengorbanan kaum lain juga perlu dilihat dan dimasukkan dalam kurikulum Sejarah agar mata pelajaran lebih menarik, bersifat universal dan mempunyai nilai tambah. Setiap kaum mempunyai tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk kemerdekaan dan kemajuan negara. Pendapat tersebut juga selari dengan kajian yang dibuat oleh  Mohd Rozi (2009) yang turut bersetuju dengan pendapat di atas.

5.0 Cadangan Penambahbaikan Isi Kandungan  mata pelajaran  Sejarah SMR
Peranan kurikulum Sejarah SMR dalam mengeratkan perpaduan kaum dan semangat patriotisme  dalam masyarakat pelbagai etnik di negara ini masih tetap relevan. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dan masalah, namun masih terdapat ruang yang luas untuk memperbaiknya lagi. Berdasarkan masalah- masalah yang telah dibincangkan di atas, berikut dikemukakan beberapa saranan untuk mengatasinya. Antaranya ialah :

I.            Isi kandungan dan sukatan mata pelajaran Sejarah wajar diubah sesuai dengan keperluan masa kini
Menurut Ornstein & Hunkins (2004) telah menjelaskan terdapat empat falsafah utama iaitu idealisma, realisma, pragmatisma dan existentialisma.
        i.            Pengenalan mata pelajaran Sejarah daripada sudut pandangan falsafah idealisma ialah melahirkan rakyat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi serta berbangga sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat. Sebagai contoh, kurikulum Sejarah tingkatan1 (bab 1) yang tentang maksud sejarah, kepentingan sejarah, sumber sejarah, tujuan mempelajari sejarah negara memberi pendedahan kepada murid supaya mengenali sejarah negara. Manakala kurikulum Sejarah Kemerdekaan Negara dapat memberi semangat kepada anak muda menghargai pejuang pejuang kemerdekaan dan menghargai nilai kemerdekaan yang perlu dipelihara. Nilai moral dan spiritual yang terkandung dalam mata pelajaran Sejarah lebih bermakna sekiranya nilai-nilai tersebut dihurai secara terperinci dan dikaitkan dengan situasi semasa di akhir bab.
      ii.            Falsafah realisma subjek sejarah diambilkira apabila peristiwa-peristiwa sejarah negara yang terkandung di dalam kurikulum sekolah telah disusun mengikut urutan peristiwa supaya dapat difahami oleh murid. Dengan itu murid lebih memahami aturan alam seperti kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka telah mengalami zaman kemerosotan apabila perpaduan tidak dijaga dan dihargai. Murid dapat menaakul dan menilai secara rasional kesan-akibat peristiwa sejarah sekiranya manusia melakukan tindakan yang bertentangan dengan aturan alam.
    iii.            Falsafah pragmatisma menuntut perubahan beberapa bahagian mata pelajaran Sejarah. Situasi ini berlaku kerana secara realiti manusia sentiasa berubah dan menyesuaikan diri dengan perubahan selaras dengan perkembangan semasa negara. Abad ke-21 yang terdedah kepada arus globalisasi menuntut kerajaan sesebuah negara melakukan perubahan terutama daripada aspek peningkatan pengetahuan rakyatnya supaya dapat menghadapi cabaran dunia. Justeru perubahan kandungan mata pelajaran sejarah sekolah harus dilakukan dengan mempelbagaikan aspek-aspek sejarah seperti perkembangan teknologi negara, sejarah sukan negara dan tokoh-tokoh yang mengharumkan nama negara hingga ke peringkat dunia. Isi kandungan yang tiada bukti empirikal dan diragui kesahihannya hendaklah diberi nafas baru sebagai “legenda” negara. Dengan ini rakyat yang ingin dilahirkan akan lebih rasional dan berpijak di bumi nyata.
    iv.             Seterusnya, falsafah existentialisma juga terkandung di dalam pendidikan sejarah Malaysia apabila matlamat kurikulum yang digariskan memfokuskan kepada masyarakat perlu diberi kesedaran hak dan tanggungjawab individu sebagai rakyat Malaysia. Rakyat diberi kebebasan memilih kepimpinan negara menerusi pilihanraya. Malah kurikulum sejarah juga memberi fokus kepada rakyat yang mempunyai kebebasan bersuara, berpersatuan namun memahami tanggungjawab menjaga keamanan negara.

II.            Isi kandungan buku teks dan  sukatan pelajaran Sejarah SMR perlu bersifat futuristik dan berdaya saing
Keseimbangan dari aspek teori dan amali perlu diberi perhatian. Penekanan kepada fakta dan tahun perlulah diminimumkan. Ilustrasi yang menarik dalam kandungan kurikulum akan dapat menarik perhatian pelajar mengikutinya. Kurikulum Sejarah pada abad ini perlulah seimbang, progresif dan dinamik. Dalam konteks ini kurikulum yang dihasilkan perlu berpusatkan pelajar, realistik serta praktikal dan boleh diaplikasikan  dalam konteks kehidupan seharian. Isi kandungan kurikulum Sejarah juga perlu dilihat kembali agar sumbangan semua kaum di negara ini dapat dilihat dan dihargai. Sumbangan kaum Melayu, Cina dan India terhadap proses kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan perlu dimasukkan dalam kurikulum. Hal ini akan dapat mengelakkan tafsiran sejarah yang dipelajari lebih menjurus kepada sejarah orang Melayu atau ‘Melayu centric’. Seharusnya kurikulum Sejarah itu dapat merangsang pelajar-pelajar agar dapat menghayati sejarah yang dipelajari itu adalah milik mereka bersama. Perkara ini penting agar setiap kaum akan dapat memahami sejarah bagi setiap kaum yang lain. Kurikulum sedemikian akan dapat menarik minat pelajar daripada semua kaum dalam menilai sumbangan kaum mereka terhadap sejarah pembangunan negara. Secara tidak langsung akan meningkatkan perpaduan dalam kalangan mereka.

III.            Tema-tema yang di dalam sukatan pelajaran Sejarah SMR juga perlu menjurus kepada tema yang dapat meningkatkan tahap integrasi kaum di negara ini
Tema yang berkaitan dengan peranan dan sumbangan setiap kaum itu dari aspek politik, ekonomi dan sosial perlulah diberi fokus dalam menyusun kurikulum. Contohnya, dalam menuntut kemerdekaan Negara, peranan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan perlulah dikupas dan diperhalus daripada perspektif perpaduan, patriotisme dan integrasi kaum di negara ini. Perkara ini dapat dijadikan model integrasi terbaik generasi terdahulu dalam membentuk konsep integrasi kaum sebenar. Pelajar akan dapat menghayati dan mendalami peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini dan seterusnya akan memberi kesedaran kepada mereka tentang proses integrasi yang telah wujud sejak prakemerdekaan. Mohd Rozi (2009) yang turut bersetuju dengan pendapat di atas dan mencadangkan supaya  kandungan pelajaran Sejarah perlu diubah kerana sumbangan kaum, masyarakat dan tokoh yang terlibat dalam perkembangan sejarah negara harus dicakupi secara menyeluruh dan bukannya dipilih (selected). Peranan ikon pascamerdeka seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan perlulah dilihat dari sudut perbincangan 1 Malaysia yang seterusnya boleh meningkatkan perpaduandan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Kerana isi kandungan buku sejarah SMR sekarangan didapati kurang memberi impak kepada pelajar dalam merealisaikan matlamat perpaduan kaum dan menyemai semangat patriotik di kalangan pelajar.

6.0  Kesimpulan
Dari kajian tentang isi kandungan buku teks Sejarah SMR, didapati elemen perpaduan adalah sangat kurang diberi penekanan tetapi elemen patriotisme sangat diberi penekanan. Ini menyebabkan hasrat Akta Pendidikan 1993 untuk mewujudkan kurikulum pelajaran yang boleh memupuk perpaduan negara tidak tercapai. Bagi mengatasi keadaan ini, perubahan di dalam isi kandungan buku teks Sejarah SMR dirasakan amat perlu bagi merealisasikan matlamat menjadikan kurikulum pelajaran seperti mata pelajaran Sejarah sebagai medium untuk mewujudkan perpaduan dan patriotisme di antara kaum serta di Malayisia.

BIBLIOGRAFI

Ahmad Fauzi Mohd Basri, Mohd Foad Sakdah & Azami Man.( 2007). Sejarah Tingkata 1.
     Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Ghani Abdullah,PhD.(2009). Kepimpinan & Penambahbaikan Sekolah. Batu Caves
    : PTS  Professional Publishing Sdn Bhd

Akta Pendidikan 1996 ( Akta 550 ). (2003). Petaling Jaya : International Law Book
     Services

Al Ramaiah.(2009). Kepimpinan Pendidikan: Cabaran Masa Kini. Petaling Jaya : IBS
     Buku Sdn. Bhd.
    
Huraian Sukatan Pelajaran KBSM. (2002). Sejarah Tingkatan 3: Kuala Lumpur : Dewan
     Bahasa dan Pustaka.

Ibrahim Mamat. (1993). Kepimpinan Sekolah : Teori untuk Praktis. Kuala Lumpur :
     Kumpulan Budiman Sdn Bhd:

Junaidah Abdul Hamid & Norashimah Ismail. (2005). Pengurusan dan Kepimpinan
     Pendidikan : Teori, Polisi dan Pelaksanaan. Serdang : Universiti Putra Malaysia

Latip Muhammad. (2007). Pelaksanaan Kepimpinan Pengajaran di Kalangan Pengetua
     Sekolah. Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu

Maisariah Mispari.Johara Abdul Wahab & Ridzuan Hasan.( 2006). Sejarah Tingkatan 2.   
     Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohammad Syamsul Izwan MD Fauzi, (2009), Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan
     Mok Soon Sang. 2010. Pengurusan & Pentadbiran Pendidikan III. Puchong :
     Penerbitan Multimedia  Sdn. Bhd.

Ramlah Adam, Abdul Hakim Samuri & Muslimin Fadzil. (2012). Sejarah Tingkatan 3.
     Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahril Marzuki, Rahimah Ahmad & Hussien Ahmad. (2010). Kepimpinan Pengetua
     :Menjana Modal Insan Di Sekolah Berkesan. Batu Caves : PTS Profesional Publishing
      Sdn Bhd.